FUTURE GLOBAL NETWORK FOUNDATION (FGN)

Alamat Perhubungan

FUTURE GLOBAL NETWORK FOUNDATION
No 72-1, Tingkat 1
Jalan Prima SG 3
PRIMA SRI GOMBAK
68100 Batu Caves, SELANGOR


Tel:    03-6187 7020
Faks:    03-6186 6020


Email: globalfgn@gmail.com

Donation

Laporan Mavi Marmara

Ahli Online

We have 57 guests online

Projek Perkampungan Islam Sheikh Muhammad Nor PDF Print E-mail
Kompleks Perkampungan Islam Sheikh Muhammad Nor – Pusat Dakwah dan Tarbiyah

ImageKompleks Perkampungan An-Nur ini akan menjadi sebuah perkampungan Islam yang mendukung konsep Hablum min Allah wa Hablum min Al-Nas.  Selain daripada membangunkan tempat kediaman, perkampungan ini akan juga menyediakan prasarana yang lengkap dan menzahirkan persekitaran yang kondusif untuk membolehkan orang Islam yang bermastautin di situ mendalami ilmu agama disamping menunaikan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah bagi menjadi orang mukmin yang beriman dan bertakwa terhadap kebesaran Allah Subhanahuwataala.


Tapak

Perkampungan An-Nur ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 12 ekar di Kampung Sungai Cincin, Batu 7 ¾ Jalan Gombak, Selangor Darul Ehsan. Pada masa ini kawasan tersebut merupakan perkampungan traditional Melayu.
 
Jarak tapak projek dari bandaraya Kuala Lumpur ialah lebih kurang 13 kilometer  dan 4 kilometer dari kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
  
Sejarah Kampung Sungai Cincin

ImageKampung Sungai Cincin diasaskan sekitar tahun 1894 oleh Almarhum Sheikh Muhammad Nur Al Khalidi (yang berasal dari Penyambongan, Sumatera Utara) di tanah yang diwakafkan oleh DYMM Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima.

Almarhum Sheikh Muhammad Nur merupakan ahli sufi dan terkenal sebagai wali Allah dengan berbagai karamah.  Almarhum telah membangunkan kampong dan memimpin ahli jemaahnya berteraskan syariat Islam. Di dalamnya tertegak tarbiah dan ta’alim (pendidikan dan pelajaran) untuk semua peringkat umur, lelaki dan perempuan.

Almarhum juga membina sebuah masjid dan sebuah sekolah agama yang bukan sahaja menekankan soal-soal ilmu tetapi juga tarbiah rohaniah. Anak murid Almarhum terdiri daripada anak masyarakat tempatan dan juga dari luar daerah dan luar negeri Selangor.

Perkampungan An-Nur akan meneruskan tradisi ilmu dan sistem kemasyarakatan yang mendukung pendidikan rohani yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Sheikh Muhammad Nur Al-Khalidi.  



Pembangunan Kompleks Perkampungan An Nur di Sungai Cincin


Mengikut perancangan, Kompleks Perkampungan An Nur akan dibahagikan kepada lapan zon:-

Zon 1 - Kompleks Masjid


ImageSebuah masjid 2 tingkat akan dibangunkan di tengah-tengah perkampungan yang melambangkan simbol kedaulatan Islam dan paksi penyatuan masyarakat Islam Perkampungan An-Nur.    

Tingkat atas ialah tempat berjemaah, manakala tingkat bawah akan menempatkan pejabat untuk pegawai-pegawai masjid, bilik pembelajaran ilmu duniawi dan ukhrawi, bilik komputer, perpustakaan dan pejabat pengurusan Kompleks Perkampungan An-Nur.

Kedudukan masjid yang strategik membolehkan ia mudah dikunjungi oleh penghuni yang tinggal dari beberapa penjuru perkampungan.  Ahli-ahli jemaah yang dianggarkan berjumlah 2000 orang terdiri daripada penghuni dari dua buah blok kondominium, kumpulan warga emas dan juga murid-murid dari Maahad Tahfiz al-Quran. Keadaan sedemikian akan menjadikan Masjid An-Nur sentiasa mempunyai bilangan jemaah yang besar untuk menunaikan bukan sahaja sembahyang fardu dan solat Jumaat malahan juga disertai bagi aktiviti-aktiviti ibadah lain seperti sembahyang tahjud, Qiamullail, kuliah seperti taskirah, pengajian dan tafsir al-Quran.

Suasana seumpama itu akan mengimarahkan Masjid An-Nur dan menyalakan obor kemuliaan Islam seperti yang terpancar di Masjidilharam di kota Mekah.

 
Zon 2 - Kompleks Warga Emas

Kompleks tersebut akan menempatkan golongan warga emas yang dhaif.  Menolong golongan tua yang tidak berkemampuan merupakan satu kerja amal ihsan dan tuntutan fardhu kifayah.  

Kehadiran warga emas juga akan dapat meningkatkan rasa kesedaran dan keinsafan di kalangan penghuni dan juga pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz, Dakwah dan Tarbiyah selaras dengan konsep penyayang dan kebajikan yang menjadi kekuatan perpaduan Islam.

Dengan menempatkan warga emas berdekatan dengan masjid akan membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan mudah disamping berada dalam kumpulan jemaah yang berilmu.


Zon 3 - Hotel Musafir

Sebuah kompleks untuk penginapan sederhana (budget hotel) akan dibangunkan.  Kos sewaan dianggarkan antara RM60 – RM100 semalam.

Permintaan penginapan dijangka tinggi terutama apabila Universiti Islam Antarabangsa mengadakan persidangan, majlis konvokesyen dan kunjungan daripada ibu bapa.

Selain daripada itu, ibu-bapa dan keluarga pelajar-pelajar dari British Malaysian Institute, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Integrasi yang berhampiran juga berkemungkinan menggunakan kemudahan penginapan di Hotel Musafir.


Zon 4 - Maahad Tahfiz, Dakwah dan Tarbiyah

Sebuah kompleks untuk menampung 1000 orang pelajar mengikuti pengajian tahfiz, dakwah dan tarbiyah Islam akan dibangunkan.

Pusat pengajian tersebut akan menawarkan kursus-kursus dalam pengajian Islam dan hafiz al-Quran serta pembentukkan sahsiah yang tinggi untuk membolehkan  mereka menjadi imam, guru serta pendakwah yang berwibawa.

Selain boleh menguasai bahasa Arab, pelajar-pelajar juga akan diajar beberapa bahasa lain yang relevan untuk bangsa-bangsa yang didakwah.
Maahad ini adalah untuk melahirkan generasi pendakwah dari rantau Alam Melayu yang mempunyai ilmu dan ketrampilan yang sesuai dengan cabaran abad 21.

Untuk tujuan pengiktirafan, pusat pengajian ini akan bekerjasama dengan pihak Universiti Islam Antarabangsa dan mana-mana institusi yang relevan.

Dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz, Dakwah dan Taribiyah ini akan dapat meneruskan usaha Almarhum Sheikh Muhammad Nur Al-Khalidi untuk menjadikan Sungai  Cincin sebagai tempat dakwah dan tarbiah yang unggul di rantau Alam Melayu.
Zon 5 - Apartmen Mampu Milik

ImageSatu blok apartmen akan dibangunkan. Ia dijangka mengandungi unit kediaman bertaraf ‘high ends’ yang akan dijual dan juga disewa untuk golongan yang berkemampuan.  Kemudahan apartmen yang baik seumpama ini sudah tentu boleh menarik kakitangan akademik dan profesional di daerah Gombak untuk memilih tinggal di sini.


Zon 6 - Flat Mampu Milik


Sebuah ‘Flat Mampu Milik’ akan juga dibangunkan. Ia dijangka mengandungi unit kediaman untuk dijual dan disewa kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Flat Mampu Milik ini juga akan dapat menampung keperluan kakitangan sokongan yang bertugas di institusi pendidikan di daerah ini.

Adapun penduduk asal kampung akan diberi keutamaan untuk membeli atau menyewa dengan beberapa kelonggaran dan keistimewaan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pembangunan.

 
Zon 7 - Kompleks Makam dan Warisan Sejarah

ImageKompleks Makam dan Warisan Sejarah akan mengumpul dan menyimpan artifek-artifek, bahan-bahan sejarah seperti gambar-gambar yang menjadi identiti dan corak pembentukan  kemasyarakatan Perkampungan Islam Kampung Sungai Cincin yang dipelopori oleh Almarhum Sheikh Muhammad Nur Al-Khalidi.
                    
Makam Almarhum Sheikh Muhammad Nur Al-Khalidi akan menjadi satu mercu tanda kenangan silam yang perlu dipelihara untuk dijadikan sejarah warisan Perkampungan An Nur.
Zon 8 - Kompleks Komersial

Kompleks Komersial akan menyediakan kemudahan perniagaan dan membeli belah untuk penghuni dan juga penduduk di  pembangunan berhampiran.

Pulangan dari zon komersial akan diguna untuk menampung pengurusan pembangunan Kompleks Perkampungan An-Nur.


Semoga usaha yang murni ini akan diberkati Allah Subhanahuwataala.  Insya’Allah!

Bagi sebarang pertanyaan sila hubungi Sdra. Ahmad Azam Abdul Rahman (03 - 6187 7020)